Cart 0

15 Cara Untuk Elak Anak Jadi Mangsa Culik

Saban hari kita disajikan berita tentang kehilangan anak, anak diculik dan ada yang pernah cuba dilarikan di depan mata si ibu. Ada beberapa cara yang kita boleh lakukan bagi mengelakkan daripada menjadi sebahagian daripada statistic berita yang meruntun jiwa ini.

Benar, bukan mudah untuk sentiasa memastikan anak-anak kita selamat di zaman yang mencabar ini. Hatta di depan mata pun segalanya boleh berlaku. Namun, sebagai penjaga amanah kita wajib mengutamakan keselamatan anak-anak kita. Contohnya, sentiasa memegang tangan anak-anak, biasakan menggunakan ‘baby harness’ dan jika ada bayi yang belum boleh berjalan, gunakan saja penggendong samada wrap, baby sling atau mana-mana baby carrier yang ergonomic.

Berikut adalah langkah keselamatan yang mudah dipraktikkan jika ingin membawa anak-anak keluar rumah:

1. Ajar anak-anak berdoa.

Ajarkan anak-anak seawal umur 2 tahun supaya sentisa mengamalkan ayat Kursi, 3 Qul, doa keselamatan dan doa ketika keluar rumah. Kita tak mampu nak mengawal pergerakan anak-anak sepanjang masa. Mohonlah Allah yang jagakan dan lindungi anak-anak dari sebarang bahaya.

2. Pesan pada anak

Sentiasa pesan dengan anak apa patut dilakukan jika tiba-tiba mereka terpisah dengan ibu-ayah di tempat awam. Ingatkan mereka untuk terus berjumpa dengan pihak berkuasa seperti pengawal keselamatan, kaunter pertanyaan, kaunter yang ada pekerja atau pihak polis sekiranya tersesat atau terpisah daripada ahli keluarga.

3. Pastikan semua ahli keluarga tahu ke mana destinasi

Walaupun masih kecil, tak salah memberitahu anak-anak ke mana arah tujuan da lokasi destinasi anda pada hari itu. Sekurang-kurangnya mereka tahu destinasi yang akan dikunjungi jika terjadi apa-apa.

4. Baju yang sedondon warnanya

Ini sangat berguna bagi mengelakkan kekeliruan terutama di tempat orang ramai. Baju yang terang dan sama warna dengan semua adik beradik lebih mudah dikesan sekali imbas.

5. Letak nama dan nombor telefon ibu-bapa

Oleh kerana anak kecil sukar menghafal nama dan nombor telefon papa atau mama, apa kata anda selitkan kad yang ada nama dan nombor telefon anda di dalam beg/poket seluar/baju anak. Di sesetengah negara barat, mereka mengukir nama, nombor telefon ibu ayah dan (jika ada) apa penyakit alergik anak itu pada bracelet (gelang/rantai tangan anak).

6. Pantau pergerakan anak

Kanak-kanak memang suka mengeksplorasi kawasan yang baru terutamanya di pasar malam dan pusat beli belah. Ini kerana kebanyakan kes kehilangan anak melibatkan lokasi orang ramai, terutama ketika jualan murah kerana ibu bapa sibuk membeli belah. Jangan leka, pantaulah anak-anak sepanjang masa.

7. Simpan telefon bimbit

Ibu bapa seharusnya memberi perhatian kepada anak ketika berada di tempat awam. Kurangkan keghairahan mengambil gambar dan sibuk melayan telefon bimbit ketika di luar bersama anak-anak kecil. Bahaya boleh datang sekelip mata.

8. Sentiasa bawa gambar anak

Usahakan untuk simpan gambar terkini anak anda yang jelas di dalam dompet ayah, beg tangan ibu atau dalam telefon bimbit. Ia akan memudahkan dan mempercepatkan pihak berkuasa dan orang awam mengecam kanak-kanak tersebut jika berlaku kehilangan.

9. Jangan ikut orang tidak dikenali

Sentiasa berpesan kepada anak supaya tidak mudah percaya dan mengikut orang yang tidak dikenali walaupun diberikan gula-gula, makanan atau permainan sebagai umpan.

10. Anak-anak berjalan di depan

Ketika berjalan bersama, anak-anak mestilah berada di hadapan dan jangan biarkan mereka berada di sisi (melainkan berpegangan tangan) atau di belakang bagi memastikan ibu bapa tidak alpa memerhati jika mereka tiba-tiba beralih haluan.

11. Jangan takutkan anak dengan polis

Jangan suka menggunakan watak pihak berkuasa untuk menakutkan anak-anak. Lebih baik anda sering mengingatkan anak-anak bahawa polis akan menolong kita jika berlaku kecemasan.

12. Beritahu guru.

Ingatkan anak-anak supaya memberitahu guru terlebih dahulu jika ingin ke luar kelas seperti ke tandas dan sebagainya.

13. Ambil anak dari sekolah lebih awal.

Jangan lewat mengambil anak dari sekolah. Pesan supaya anak tidak bermain di luar pagar sekolah dan tidak menumpang orang yang tidak dikenali untuk balik.

14. Ajar anak supaya menggunakan wisel atau menjerit sekuat hati 

Sambil membuat bising, cuba melarikan diri jika tiba-tiba ada orang yang tidak dikenali cuba menariknya ke mana-mana. Sekurang-kurangnya si pelaku agak sukar untuk teruskan usaha jahatnya dikhuatiri menarik perhatian ramai dan menyusahkan.

15. Lebih berwaspada dengan penggunaan stroller.

Jangan leka ketika bayi di letakkan di dalam stroller. Sudah berlaku beberapa kes cubaan menculik bayi dari stroller ketika ibunya tidak sedar dan sibuk berurusan di luar. Demi keselamatan bayi tersayang boleh cuba menggunakan penggendong seperti ring sling atau mana-mana baby carrier lain yang bersesuaian.

Tugas ibu bapa dan penjaga bukan boleh diambil enteng. Zaman penuh pancaroba ini, segala kemungkinan boleh terjadi. Ambillah langkah keselamatan kerana mencegah lebih baik dari mengubati. Iya, biarlah anak-anak menangis kerana tak dapat bebas keluar sendirian daripada kita menangis penuh penyesalan.



Older post